Koleksi puisi ini dimuntahkan dari raga kala merentas sejuk panas kehidupan. Mungkin ada terjentik perkaitan dengan yang hidup mahupun yang telah pergi. Namun tiada unsur kasar dan erotik. Sekadar luahan rasa dan emosi yang diterjemahkan ke dalam tulisan. Semoga terhibur dengan mainan bahasa dan semoga bermanfaat.

Mar 7, 2017

MEMO JATI DIRI

Ada satu saat
Bila kau ada satu rencana
Kau juga terfikir untuk bertanya
Pendapat lain yang boleh diguna

Lantas bila ia disuarakan
Kurang positif, lebih negatif yang kau dengarkan
Pelbagai suara mulai melemahkan
Usahamu yang belum lagi dimulakan

Saat itu kau perlu pegang satu
Teguh pendirian sangat kau perlu

Kedua yang perlu kau ingatkan
Jangan mudah jatuh pada ayat-ayat meyakinkan
Langkah demi langkah perlu kau aturkan
Agar baik dan buruk dapat dibezakan
Agar hak dan batil dapat dicerakinkan

Kadang kita perlu terima pendapat orang
Tapi jangan main sembarang
Bukan semua yang menyokong itu betul
Bukan semua yang mengongkong itu salah

Tiga yang harus dititikberatkan
Janganlah pernah berputus harapan
Kekal lah dan teruskan berjalan
Berehatlah bila memerlukan
Namun jangan hentikan perjalanan
Hadapilah segalanya dengan ketabahan
Teruskanlah perjuangan



Mar 6, 2017

RINDU

Andai bisa aku tuturkan rinduku padamu,

Akan satu persatu aku sebutkan.

Betapa siang bagai tidak bercahaya.
Betapa malam bagai kosong tiada serinya.
Betapa mataku senantiasa melilau mencari bayangmu.
Betapa tangisku sering mengalir membawa rindu.
Betapa akalku tidak putus memikirkanmu.
Betapa jiwa ku dipenuhi kasih terhadap kamu.
Betapa bayangmu sentiasa menjadi igauan ku.
Betapa susukmu menjadi lamunan ku.
Betapa wajahmu menyuburkan cintaku.
Betapa senyummu menusuk di kalbu.

Betapa kamu, yang aku mahu.
Sungguh, aku sungguh-sungguh merindu.

KOYAK KAMUS MEMORI

Bukan niat aku untuk mengoyak kamus memori,
Disetiap helaian yang kita karang bersama,
Namun keterlanjuran mu,
Memaksa aku melakukan sedemikian,
Melimpah takung linangan ku,
Saat realiti yang kau akukan,
Bukanlah suatu kebenaran,
Sakit beban didadaku,
Ditindih bersama seribu satu kenangan,
Kau tidak langsung menghargai,
Keberadaanku menerima buruk baikmu,
Helaian cerita lalu sudah aku koyakkan,
Kupejam mata menahan kesakitan,
Beriringan setinggi-tinggi kesabaran,
Demi mempertahan ikatan yang sudah lama terjalin,
Namun tidak kau ambil peduli,
Malah kau mempergunakan,
Kau putar belitkan,
Setiap cebis nilai kepercayaan dan kesetiaan,
Nyata kau hanya sekadar mempermainkan,
Lalu aku memutuskan satu keputusan,
Agar dibakar segala kerat memori yang dicatatkan,
Agar hati ini lebih tenang meneruskan.

MUDAH MENGHAPUS

Sebegitunya mudah
Kau ranap dan hapus
Seganal-ganal memori

Tiadalah sekelumitpun
Dibiar engkau
Berdansa bahgia
Di istana ingatan

PEMUSNAH

Tidak inginkah kau celik sejenak,
lalu menyantap di akal,
melirik hari-hari indah,
yang pernah hadir?

Yang kemudiannya,
Hari-hari itu hancur musnah,
dilanggar sifat jelekmu,
Yang kemungkinan gemar menikam raga manusia lain.

AMUK SANG KAWAN ll

Dalam tiada berbuat lain
Selain diamlah aku

Sifar rasa gentar kehilangan
Seorang yang ku agak
Mampunya tidak menghulur tangan
Mengekalkan satu ikatan
Persahabatan

Ah sudah
Tiada gelisah ini aku tuturkan
Jangan gusar untuk meninggalkan
Sudahnya kita tidak sehaluan
Hati sesama sudah ditawarkan

Tiada lain melainkan
Benci, hasad dan kesumat
Andai terus kita bertaut
Atas nama keakraban yang palsu.

Jadi tiadalah lebih elok
Berbanding aku mengundur diri

AMUK SANG KAWAN

Sekian sekian hari dulu
Kau jamahkan dengaranku
Dengan kata benci
Ketika itu kau diteman amarah

Tiada berbuat lain
selain diamlah aku

Namun jangan angkuh dulu
Tiada pun malu dan takut aku
Tiada ragu dan sifar rasaku

Tafsirku mungkin tidak kau terima
Keberadaanku diterima dunia

Atau mungkin adanya engkau
Menggali dalam madah pedasku

Tiada berbuat lain
Selain diamlah aku